Monday, September 22, 2014

TRANS BORNEO

7 hari berjalan,1891km dilalui,hampir 20 stamp pada pasport dan tidak kurang dari 10 lokasi termasuk taman dan daerah di lalui. Perjalanan kali ini baru permulaan, tahun hadapan saya bercadang untuk pergi lebih jauh mengelilingi sepenuhnya Pulau Borneo.

Jumpa lagi....diperjalanan akan datang.


Jambatan berdekatan dengan Miri Port

Night at Limbang

Friday, September 19, 2014

TEMPAT MENARIK LAIN DI MIRI SARAWAK

TAMAN AWAM MIRI

Terletak hanya 3km dari pusat bandar, terdapat sebuah taman yang cantik. Kemudahan rekreasi ini memberikan kemudahan kolam renang, BBQ area, jogging track, soft adventure dengan jambatan gantung panjang. Paling menarik ialah 3 tingkat air terjun buatan manusia.

Saya dapati taman ini dijaga dengan baik dan masuk adalah percuma. Taman ini sangat sesuai untuk riadah bersama keluarga.
Jambatan Gantung



Air terjun buatan manusia




MIRI CROCODILE FARM 

Terletak lebih kurang 25km dari bandar Miri melalui jalan ke Imigresen Sg Tujuh, Taman Buaya Miri merupakan salah satu tempat yang mesti dilawati. Taman ini menempatkan buaya dalam habitat asal. Disamping buaya terdapat banyak haiwan lain yang boleh dilihat di sini. Antaranya,burung,ular ,beruang dan lain-lain.

Taman buaya ini agak berbeza dengan taman yang lain, lebih menarik dan agak berbaloi dengan yuran RM18.00 untuk dewasa bagi masuk ke taman ini.
Pintu masuk taman

Aksi biasa buaya

Berehat dengan tenang


Menjadi agresif bila masa makan

Ayam yang dilontar terus ke mulut buaya

Perkerja berketurunan Jawa ini menjelaskan bahawa
beliau memelihara beruang ini semenjak umur 6 bulan
kini sehingga sekarang beruang ini amat manja dengan beliau.

Lebih 20 spesis burung terdapat di sini

Jangan lupa merasa sate buaya jika berkunjung ke taman ini.

TAMAN NEGARA LOAGAN BUNUT, SARAWAK

Saya dapati sudah tiba masa untuk saya berpatah balik. Masa semakin suntuk kerana perlu tiba di Kota Kinabalu pada hari Ahad. Sebelum tiba di Miri saya mengambil keputusan untuk masuk ke pedalaman menuju Loagan Bunut lebih kurang 67km dari jalan utama Bintulu-Miri.

Saya terkejut melihat jalan raya di sini sangat cantik, pemanduan saya lebih mudah namun jalan masuk ke Loagan Bunut agak mencabar melalui denai kecil yang berbukit bukau sejauh 7km dari jalan utama.

Loagan Bunut sepatutnya adalah satu tasik ( maaf saya terpaksa curi gambar) tapi malang bagi saya, sekarang merupakan musim kering dan tasik kering sepenuhnya.

Tasik Di Taman Negara Loagan Bunut( saya pinjam ni)


Taman Negara Loagan Bunut merupakan taman negara ke-10 Sarawak yang telah diwartakan pada 1 Julai 1990. Sebelum itu, kawasan taman negara ini yang mempunyai keluasan 10,736 ha. adalah sebahagian daripada Lemiting Forest Reserve. 


Ia terletak 120 km dari Bandaraya Miri. Taman negara ini mempunyai tasik semulajadi yang terbesar di Sarawak dikenali sebagai Loagan Bunut yang berkeluasa 650 ha. Sumber utama saliran air di tasik ini adalah dari Sungai Teru (kawasan tadahan Teru). 

Antara faktor utama yang mendorong kerajaan negeri untuk mewartakan Loagan Bunut sebagai taman negara adalah untuk melindungi ekosistem tasik semulajadi dan hutan paya gambut serta memelihara sumber ikan bagi kepentingan masyarakat setempat.
Tasik dari HQ(kering)

Pintu Masuk HQ

Bangunan HQ

Pekan yang dilalui ke Loagan Bunut

Rumah panjang moden-semua ada ASTRO


Thursday, September 18, 2014

BINTULU,SARAWAK

Saya meneruskan perjalanan ke Daerah Bintulu, jarak perjalanan lebih kurang 100km dari Pekan Niah. Saya mengambil masa lebih kurang 2 jam 30 minit untuk sampai ke destinasi.

Saya dapati jalan raya yang menghubungkan Niah dengan Bintulu keadaannya agak teruk. Terdapat banyak bekas lubang yang menyebabkan jalan agak kasar. Pemanduan kali ini yang terburuk setakat ini.

Saya tiba di Bandar Bintulu menjelang tengahari. Bandar ini agak usang berbanding bandar Miri. Kelibat orang asing dalam tekaan saya dari Indon agak ramai di sini.

Selepas mencari tempat penginapan, saya keluar dari hotel dan berjalan-jalan di sekitar bandar. Agak sukar mencari tempat yang menarik di sini kecuali Waterfront yang dibina sepanjang sungai.

Setelah penat berjalan, saya mengambil keputusan untuk makan malam lebih awal dan balik ke hotel untuk berehat.

Bangunan Bintulu Development Authority

Tokong Cina di Water Front

Bintulu Water Front

Kapal Terbiar di Water Front

Restoran Cantik di Water Front


Sekali sekala bot melintas laju

Kapal Nelayan Berlabuh di Hadapan Hotel

Semangat Merdeka

Wednesday, September 17, 2014

TAMAN NEGARA NIAH - GUA NIAH

Saya berhenti makan tengahari di satu gedung besar berhampiran simpang masuk ke Taman Negara Niah. Tempat ini agak unik, di satu sudut ditempatkan beberapa sangkar binatang untuk pameran. Saya sangat tertarik dengan salah satu sangkar yang dipenuhi dengan duit kertas, di dalam sangkar tersebut terdapat seekor ular kecil berwarna putih. Saya tidak berjaya mendapat info lanjut kerana nota yang terlekat di situ dalam tulisan Cina.

Taman Negara Niah terletak lebih kurang 15 kilometer dari jalan utama. Saya dapati agak ramai pengunjung pada hari ini kerana terdapat banyak kenderaan  di hadapan pejabat taman. Agak pelik kerana saya terpaksa membayar sekali lagi yuran sebanyak RM10.00, sepatutnya yuran yang saya bayar untuk masuk ke Taman Lambir masih sah ini kerana kedua-dua tempat merupakan Taman Negara.

Semenjak penemuan arkeologi, Gua Niah telah menjadi salah satu aset penting di dunia. Perjalanan meneroka gua ini membolehkan kita melalui Gua Dagang(Trader's Cave), Lubang Kuala(South Mouth), Lubang Tulang, Lubang Hangus(Burnt Cave), Lubang Bulan(Moon Cave) dan tempat yang paling jauh ialah Kain Hitam A (Painted Cave A) dan Kain Hitam B (Painted Cave B).

Gua ini menarik kerana bukan sahaja saiznya yang besar tetapi terdapat penemuan pra sejarah yang menunjukkan terdapat tanda-tanda manusia zaman dahulu pernah mendiami gua ini.

Selepas membayar yuran masuk,saya segera ke jeti untuk menyeberang sungai, perlu membayar tambang sebanyak RM1.00 untuk bot yang ada di situ bagi satu perjalanan.

Perjalanan menuju ke pintu gua yang jauhnya 3 kilometer agak mudah. Bentuk muka bumi hanya mendatar dan laluan pula melalui jambatan kayu dan laluan konkrit namun perlu berhati-hati kerana ianya agak licin manakala kayu pula agak usang.

Perlu menyeberang sungai untuk memulakan perjalanan.



Laluan yang menarik untuk ke pintu gua


Saya berjalan perlahan-lahan, tangan saya tidak lekang memegang kamera, tetapi saya tidak melihat benda yang menarik yang boleh saya rakam di sepanjang perjalanan. 

Lebih kurang separuh perjalanan saya melihat sekumpulan orang di hadapan saya dalam perjalanan pulang. Saya terkejut apabila salah seorang daripada mereka merupakan orang kenamaan iaitu Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, beliau sempat bertanya kepada saya dari mana saya datang...heheh mungkin beliau hairan melihat saya bersendirian dan masih menuju ke gua walaupun selepas tengahari. Ini mungkin ekspedisi merdeka berdasarkan baju yang mereka pakai.

Selepas lebih kurang 45 minit berjalan, akhirnya saya tiba ke gua pertama yang dipanggil Traders' Cave, terdapat banyak kayu terpacak di situ, menurut catatan yang terdapat di situ, tempat ini merupakan tempat tinggal para pencari sarang burung pada tahun 1970an.

Trader's Cave

Lebih kurang 100 meter dari Traders' Cave merupakan gua yang amat besar. Mulut  gua yang dipanggil South Mouth ini dengan saiz 60m tinggi dan 250m lebar membolehkan ia digelar mulut gua terbesar di dunia. Di sinilah gua utama yang dipanggil 'the Great Cave'. Tempat ini merupakan tempat yang sangat popular kerana sering kelihatan dalam gambar kalau anda google tentang Niah. 

Di sebelah kiri adalah penemuan arkeologi yang sangat penting, ianya berlaku sekitar tahun 1958 apabila pasukan arkeologi Harrisson menemui tengkorak manusia yang dipercayai berumur 40,000 tahun usianya. Di siling gua kelihatan tali dan kayu yang digunakan oleh para pengutip sarang burung berada beratus kaki dari lantai gua.






Laluan masuk ke bahagian dalam melewati tapak arkeologi semakin mencabar kerana semakin ke dalam tentunya cahaya juga semakin berkurangan. 
Pintu gua kelihatan semakin jauh
Perjalanan menjadi semakin sukar kerana terpaksa menuruni tangga yang curam ke lembah yang dipanggil Padang. Melalui Moon Cave, saya terpaksa menggunakan lampu suluh kerana keadaan di sini hampir gelap sepenuhnya.  

Suasana agak menyeramkan, saya nasihatkan supaya anda jangan meneroka gua ini bersendirian. Dalam hati saya berasa bernasib baik ada orang di hadapan walaupun mereka agak jauh tetapi sekurang-kurangnya saya tahu saya tidak bersendirian. 

Jauh di hadapan saya melihat lubang cahaya dari siling, perasaan yang lega apabila dapat melihat semula cahaya. Terdapat dua lubang yang membolehkan cahaya menerobos masuk ke dalam gua, saya dapat bayangkan jika terdapat cahaya matahari yang menyinari masuk tentunya satu pemandangan yang cantik.

Lubang di bumbung gua


Saya tidak meneruskan perjalanan ke Painted Cave kerana gua ini agak jauh dan hari semakin menjelang senja. Saya tidak mahu berada di sini sehingga gelap. Saya memutuskan untuk menaiki tangga yang menghala ke pintu utama semula. 

Sebelum perjalanan berakhir, satu pondok disediakan untuk kita duduk berehat sambil melihat kali terakhir Lubang Kuala dan Great Cave yang kelihatan nun jauh di sana. Sekembalinya semula di bukaan hadapan gua memberikan satu kelegaan yang sukar digambarkan.
Penerokaan berakhir apabila tiba semula ke Great Cave

Pondok untuk kita menikmati suasana gua sebelum ekspedisi berakhir 

Semenjak kecil lagi kita membaca tentang gua ini dalam buku teks di sekolah dan juga sering melihatnya dalam majalah atau siaran dokumentari TV. Apapun yang kita baca atau yang kita lihat, tidak sama dengan pengalaman sebenar. Saya cuba rakamkan dalam kamera tetapi saya percaya saya hanya dapat merakam 15% daripada suasana sebenar. Kalau ada kesempatan adalah wajib datang ke sini untuk merasai sendiri pengalaman meneroka gua yang besar ini.

Saya masih mahu merakam gambar dan melihat sendiri ribuan kelawar yang akan balik ke sarang sebelum malam berlabuh tetapi saya semakin seram kerana tiada lagi kelibat manusia yang saya nampak di sekitar gua.

Saya meninggalkan taman ini pada agak lewat, oleh kerana kepenatan saya tidak meneruskan perjalanan ke Bintulu. Saya mencari penginapan di Pekan Niah. Syukurlah terdapat satu motel murah tetapi sama dengan Pekan Lawas di sini juga tiada signal Digi dan hotel tiada Wifi, apapun elok juga supaya saya boleh berehat lebih awal.


Perjalanan masih panjang.... selamat malam.

Tuesday, September 16, 2014

AIR TERJUN BUKIT LAMBIR, MIRI SARAWAK

Selamat Hari Malaysia yang ke-51.

Sebelum meninggalkan bandar Miri, saya sempat melawat Grand Old Lady Memorial. Tempat ini terletak di atas bukit lebih kurang 2 kilometer dari bandar Miri. Di sini juga terletaknya Muzium Petroleum. Menurut catatan di situ, tempat ini dibina untuk memperingati proses terawal sekitar tahun 1910 mencari gali petroleum oleh Shell di sini. Pemandangan di sini amat cantik, kita boleh melihat seluruh bandar Miri dari atas. Seperti hari-hari yang lepas, cuaca di sini mendung sepanjang hari. Jerebu juga agak tebal yang membataskan penglihatan.

the GRAND OLD LADY

Bandar Miri Dari Atas Bukit

Muzium Petroleum



Saya meneruskan perjalanan menghala ke Bintulu, lebih kurang 30 kilometer saya berhenti di Taman Negara Bukit Lambir. Kakitangan yang menjaga taman memberitahu saya bahawa terdapat air terjun yang cantik di sepanjang perjalanan ke atas Bukit Lambir. Bayaran sebanyak RM10.00 diperlukan untuk masuk ke taman ini.

Melalui denai yang basah, dengan cuaca yang agak redup saya menyusuri laluan yang nampaknya jelas kelibat manusia melaluinya sebelum saya. Sekumpulan anak muda mendahului saya sambil membawa sesuatu dalam beg galas masing-masing. Mereka agak laju mendaki bukit....saya terkenang semasa umur belasan tahun dahulu, saya pernah bekerja menjadi porter di Gunung Kinabalu....kalau setakat bukit macam tiada baitu..hehe tapi sekarang perjalanan ke air terjun Latak yang hanya 1.2km sahaja mengambil masa hampir 1 jam.

Menurut pamplet yang diberikan, terdapat 4 air terjun utama yang boleh dilawati di sini. Air terjun Latak (1.2km), air terjun Pantu (3.6km), air terjun Dinding (4.8km) dan air terjun Pancur (7km). Memandangkan saya perlu sampai ke destinasi seterusnya pada waktu tengahari, saya merancang untuk sampai ke air terjun Latak sahaja.

Air Terjun Pertama



Sebelum sampai ke air terjun Latak, saya dapati terdapat dua air terjun yang cantik di sepanjang laluan ke sana. Air terjun pertama yang saya temui memerlukan saya turun dan menyeberang melalui batu yang berlumut dan licin. Satu kejadian yang hampir-hampir membawa padah apabila saya hampir-hampir tergelincir semasa melangkah melalui batu tersebut. Saya sempat berpaut pada tumbuhan yang tumbuh antara batu-batu. Pasti masalah besar timbul jika berlaku kemalangan kerana sudah pasti agak sukar untuk meminta bantuan kerana saya cuma bersendirian di tempat yang agak sunyi.

Air Terjun Kedua

Walaupun dengan penat serta kejadian yang hampir membawa padah, saya sempat merakam tiga air terjun yang terdapat di taman ini. Taman ini cantik tetapi kemudahan tandas dan tempat salin pakaian amat memerlukan penyelenggaraan segera. Jambatan kelihatan usang dan mula reput. Begitu juga dengan tanda arah yang sudah hampir pudar tulisannya.

Air Terjun LATAK



Saya bergegas turun dan tepat jam 11.30 pagi saya bertolak ke destinasi seterusnya.....