Wednesday, September 17, 2014

TAMAN NEGARA NIAH - GUA NIAH

Saya berhenti makan tengahari di satu gedung besar berhampiran simpang masuk ke Taman Negara Niah. Tempat ini agak unik, di satu sudut ditempatkan beberapa sangkar binatang untuk pameran. Saya sangat tertarik dengan salah satu sangkar yang dipenuhi dengan duit kertas, di dalam sangkar tersebut terdapat seekor ular kecil berwarna putih. Saya tidak berjaya mendapat info lanjut kerana nota yang terlekat di situ dalam tulisan Cina.

Taman Negara Niah terletak lebih kurang 15 kilometer dari jalan utama. Saya dapati agak ramai pengunjung pada hari ini kerana terdapat banyak kenderaan  di hadapan pejabat taman. Agak pelik kerana saya terpaksa membayar sekali lagi yuran sebanyak RM10.00, sepatutnya yuran yang saya bayar untuk masuk ke Taman Lambir masih sah ini kerana kedua-dua tempat merupakan Taman Negara.

Semenjak penemuan arkeologi, Gua Niah telah menjadi salah satu aset penting di dunia. Perjalanan meneroka gua ini membolehkan kita melalui Gua Dagang(Trader's Cave), Lubang Kuala(South Mouth), Lubang Tulang, Lubang Hangus(Burnt Cave), Lubang Bulan(Moon Cave) dan tempat yang paling jauh ialah Kain Hitam A (Painted Cave A) dan Kain Hitam B (Painted Cave B).

Gua ini menarik kerana bukan sahaja saiznya yang besar tetapi terdapat penemuan pra sejarah yang menunjukkan terdapat tanda-tanda manusia zaman dahulu pernah mendiami gua ini.

Selepas membayar yuran masuk,saya segera ke jeti untuk menyeberang sungai, perlu membayar tambang sebanyak RM1.00 untuk bot yang ada di situ bagi satu perjalanan.

Perjalanan menuju ke pintu gua yang jauhnya 3 kilometer agak mudah. Bentuk muka bumi hanya mendatar dan laluan pula melalui jambatan kayu dan laluan konkrit namun perlu berhati-hati kerana ianya agak licin manakala kayu pula agak usang.

Perlu menyeberang sungai untuk memulakan perjalanan.



Laluan yang menarik untuk ke pintu gua


Saya berjalan perlahan-lahan, tangan saya tidak lekang memegang kamera, tetapi saya tidak melihat benda yang menarik yang boleh saya rakam di sepanjang perjalanan. 

Lebih kurang separuh perjalanan saya melihat sekumpulan orang di hadapan saya dalam perjalanan pulang. Saya terkejut apabila salah seorang daripada mereka merupakan orang kenamaan iaitu Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, beliau sempat bertanya kepada saya dari mana saya datang...heheh mungkin beliau hairan melihat saya bersendirian dan masih menuju ke gua walaupun selepas tengahari. Ini mungkin ekspedisi merdeka berdasarkan baju yang mereka pakai.

Selepas lebih kurang 45 minit berjalan, akhirnya saya tiba ke gua pertama yang dipanggil Traders' Cave, terdapat banyak kayu terpacak di situ, menurut catatan yang terdapat di situ, tempat ini merupakan tempat tinggal para pencari sarang burung pada tahun 1970an.

Trader's Cave

Lebih kurang 100 meter dari Traders' Cave merupakan gua yang amat besar. Mulut  gua yang dipanggil South Mouth ini dengan saiz 60m tinggi dan 250m lebar membolehkan ia digelar mulut gua terbesar di dunia. Di sinilah gua utama yang dipanggil 'the Great Cave'. Tempat ini merupakan tempat yang sangat popular kerana sering kelihatan dalam gambar kalau anda google tentang Niah. 

Di sebelah kiri adalah penemuan arkeologi yang sangat penting, ianya berlaku sekitar tahun 1958 apabila pasukan arkeologi Harrisson menemui tengkorak manusia yang dipercayai berumur 40,000 tahun usianya. Di siling gua kelihatan tali dan kayu yang digunakan oleh para pengutip sarang burung berada beratus kaki dari lantai gua.






Laluan masuk ke bahagian dalam melewati tapak arkeologi semakin mencabar kerana semakin ke dalam tentunya cahaya juga semakin berkurangan. 
Pintu gua kelihatan semakin jauh
Perjalanan menjadi semakin sukar kerana terpaksa menuruni tangga yang curam ke lembah yang dipanggil Padang. Melalui Moon Cave, saya terpaksa menggunakan lampu suluh kerana keadaan di sini hampir gelap sepenuhnya.  

Suasana agak menyeramkan, saya nasihatkan supaya anda jangan meneroka gua ini bersendirian. Dalam hati saya berasa bernasib baik ada orang di hadapan walaupun mereka agak jauh tetapi sekurang-kurangnya saya tahu saya tidak bersendirian. 

Jauh di hadapan saya melihat lubang cahaya dari siling, perasaan yang lega apabila dapat melihat semula cahaya. Terdapat dua lubang yang membolehkan cahaya menerobos masuk ke dalam gua, saya dapat bayangkan jika terdapat cahaya matahari yang menyinari masuk tentunya satu pemandangan yang cantik.

Lubang di bumbung gua


Saya tidak meneruskan perjalanan ke Painted Cave kerana gua ini agak jauh dan hari semakin menjelang senja. Saya tidak mahu berada di sini sehingga gelap. Saya memutuskan untuk menaiki tangga yang menghala ke pintu utama semula. 

Sebelum perjalanan berakhir, satu pondok disediakan untuk kita duduk berehat sambil melihat kali terakhir Lubang Kuala dan Great Cave yang kelihatan nun jauh di sana. Sekembalinya semula di bukaan hadapan gua memberikan satu kelegaan yang sukar digambarkan.
Penerokaan berakhir apabila tiba semula ke Great Cave

Pondok untuk kita menikmati suasana gua sebelum ekspedisi berakhir 

Semenjak kecil lagi kita membaca tentang gua ini dalam buku teks di sekolah dan juga sering melihatnya dalam majalah atau siaran dokumentari TV. Apapun yang kita baca atau yang kita lihat, tidak sama dengan pengalaman sebenar. Saya cuba rakamkan dalam kamera tetapi saya percaya saya hanya dapat merakam 15% daripada suasana sebenar. Kalau ada kesempatan adalah wajib datang ke sini untuk merasai sendiri pengalaman meneroka gua yang besar ini.

Saya masih mahu merakam gambar dan melihat sendiri ribuan kelawar yang akan balik ke sarang sebelum malam berlabuh tetapi saya semakin seram kerana tiada lagi kelibat manusia yang saya nampak di sekitar gua.

Saya meninggalkan taman ini pada agak lewat, oleh kerana kepenatan saya tidak meneruskan perjalanan ke Bintulu. Saya mencari penginapan di Pekan Niah. Syukurlah terdapat satu motel murah tetapi sama dengan Pekan Lawas di sini juga tiada signal Digi dan hotel tiada Wifi, apapun elok juga supaya saya boleh berehat lebih awal.


Perjalanan masih panjang.... selamat malam.

6 comments:

  1. Nextime kita pi sana dlm group...bru aramai kan..

    ReplyDelete
  2. Menurut maklumat yg saya peroleh melalui pembacaan, Gua Niah ialah gua paling besar di dunia. Bayangkan ianya boleh memuatkan 50 buah kapal terbang..memang menakjubkan!!

    ReplyDelete